Saturday, February 12, 2011

7 Penawar Kepada Dompet Yang Kosong.


Antara bacaan terawal mengenai pengurusan kewangan adalah buku yang ditulis oleh George S Clason yang bertajuk “The Richest Man In Babylon” (Lelaki Terkaya di Babylon). Di zaman kegemilangannya, 8000 tahun lalu, Babylon adalah tamadun yang termaju di dunia. Mereka menyimpan tenaga pakar dalam banyak bidang dan pada satu masa mereka adalah negara yang terkaya di dunia.

Buku ini menceritakan bagaimana lelaki terkaya di Babylon pada masa itu yang bernama Arkad merancang dan mengurus kewangannya. Arkad telah dijemput oleh pemerintah Babylon pada masa itu untuk melatih kakitangan kerajaan dalam bidang kewangan.
Antara ceramah Arkad yang paling menarik bertajuk “7 Penawar Kepada Dompet Yang Kosong”. Berikut adalah ringkasan ceramah tersebut :

1.    Pertama : Gemukkan Dompet Anda
Anda sepatutnya hanya membelanjakan  90% daripada pendapatan anda dan menyimpan sekurang-kurangnya 10% lagi. Dengan melakukan ini setiap bulan atau setiap kali mendapat keuntungan perniagaan, tabungan kewangan anda akan berkembang sebanyak 10% setiap bulan.

2.    Kedua : Kawal Perbelanjaan Anda
Ramai yang mempunyai masalah tidak mampu untuk menyimpan sebanyak 10% setiap bulan kerana perbelanjaan kehidupan yang banyak. Arkad menasihatkan agar anda melihat semula cara perbelanjaan anda. Perkara paling penting adalah tidak keliru dengan keperluan dan kemahuan. Permudahkan cara hidup anda dengan membeli apa yang perlu dan penting dengan bajet 90% pendapatan tersebut.

3.    Ketiga : Gandakan wang simpanan anda
Wang simpanan sebanyak 10% tersebut haruslah dilaburkan untuk mendapat keuntungan bukan hanya disimpan di bawah bantal. Dengan adanya pelaburan yang menguntungkan, duit simpanan itu akan berganda atau “bekerja” untuk tuannya.

4.    Keempat : Halang Kurugian
Pelaburan yang dibuat hendaklah diteliti supaya tidak mendapat kerugian. Jangan terlampau taksub dengan keuntungan yang tidak pasti dan pastikan modal yang digunakan boleh diambil semula sekiranya pelaburan itu tidak membawa keuntungan.

5.    Kelima : Beli Rumah Anda Sendiri
Rumah yang dibeli atas nama sendiri akan mengurangkan perbelanjaan jika dibandingkan dengan rumah yang disewa. Ini adalah kerana hartanah adalah asset yang sentiasa akan naik nilainya.

6.    Keenam : Dapatkan Jaminan  Pendapatan Masa Hadapan Anda
Umur yang semakin tua akan menjadikan keupayaan anda untuk bekerja berkurangan. Oleh itu anda perlu merancang dengan lebih teliti bagaimana untuk memastikan pendapatan masa hadapan anda tidak akan terjejas walaupun pada satu hari nanti anda mungkin tidak boleh bekerja lagi.

7.    Ketujuh : Tingkatkan Keupayaan Pendapatan Anda
Anda harus mempunyai semangat untuk meningkatkan pendapatan anda dan semangat ini haruslah kuat dan berterusan.  Pada masa yang sama anda haruslah berbelanja mengikut kemampuan dan membuat bayaran kepada pemberi hutang tepat pada waktunya. Ini akan menambah kepercayaan orang ramai terhadap anda dan lebih memudahkan lagi kerja atau perniagaan anda. Akhirnya keupayaan pendapatan anda akan bertambah.

Buku ini boleh didapati di semua kedai buku utama seluruh Malaysia.

No comments:

Post a Comment