Showing posts with label Tabung Pendidikan Kanak-Kanak. Show all posts
Showing posts with label Tabung Pendidikan Kanak-Kanak. Show all posts

Tuesday, April 26, 2011

Tabung Pendidikan Kanak-Kanak – Bahagian 2 – Pengurusan Risiko



Entri ini adalah sambungan kepada Tabung Pendidikan Kanak-Kanak – Bahagian 1 – Pengenalan. Secara umumnya, menabung dalam jangka yang panjang mempunyai beberapa risiko. Risiko yang paling besar adalah apabila orang yang menabung hilang punca punca pendapatan, sehingga menyebabkan tabungan itu terpaksa dihentikan separuh jalan, seperti :

a.       Hilang Pekerjaan
b.      Berlaku kecelakaan seperti kemalangan sehingga penabung tidak boleh bekerja
c.       Kematian penabung.

Jika tabungan pendidikan anak anda terhenti separuh jalan, akhirnya mungkin anak anda juga akan belajar separuh jalan!

Jika kita sedang menabung untuk pendidikan kanak-kanak, ada baiknya kita melihat produk insurans yang boleh membantu mengurangkan risiko tabungan anda.

Terdapat dua jenis polisi asas untuk pendidikan kanak-kanak yang utama, iaitu polisi endowmen dan polisi berkaitan pelaburan. Perbezaan antara dua jenis polisi ini adalah dari segi struktur dan juga jenis pelaburan.

• Polisi endowmen (simpanan)

Polisi endowmen menggabungkan komponen simpanan dengan perlindungan. Polisi endowmen mungkin berbentuk sertaan atau tanpa sertaan . Sesuai dengan namanya, polisi tanpa sertaan tidak berkongsi keuntungan kumpulan wang insurans hayat tetapi semua manfaat insurans dijamin sepenuhnya. Sebaliknya bagi polisi sertaan , sebahagian daripada manfaat insurans dijamin. Walau bagaimanapun, amaun manfaat yang akhirnya diperoleh pada masa polisi matang tidak dijamin kerana ia tertakluk kepada prestasi kumpulan wang insurans hayat sertaan syarikat insurans berkenaan. 

• Polisi berkaitan pelaburan

Polisi berkaitan pelaburan menggabungkan unsur pelaburan dan perlindungan berdasarkan keperluan anda selaku empunya polisi. Ia menawarkan kefleksibelan kerana anda boleh menambah caruman premium bulanan atau menambah simpanan anda apabila pendapatan anda meningkat. Sekiranya anda ingin lebih agresif dengan instrumen pelaburan, polisi berkaitan pelaburan juga membolehkan anda memilih jenis dana yang anda ingin laburkan. Walau bagaimanapun, seperti mana-mana pelaburan lain yang seumpamanya, ia melibatkan risiko yang lebih tinggi dan tidak ada jaminan pulangan pelaburan yang mungkin lebih tinggi atau lebih rendah daripada yang diunjurkan. 

Tidak kira apa pilihan anda, paling penting : MASUKKAN RIDER MANFAAT PEMBAYAR!

Rider manfaat pembayar adalah tambahan kepada kepada kedua-dua produk asas di atas yang akan  mengecualikan bayaran premium sekiranya ibu bapa/ penjaga yang sah tidak lagi berupaya membayar premium polisi tersebut akibat berlaku peristiwa seperti kematian yang tidak dijangka, didiagnosis berpenyakit kritikal atau hilang upaya menyeluruh dan kekal. Dengan memilih rider manfaat pembayar, dana pendidikan anak anda akan terjamin sekiranya sesuatu berlaku ke atas anda sebagai ibu bapa/penjaga yang sah. 

Jika anda telah membeli insurans pendidikan, semak semula dengan ejen anda mengenai Rider Manfaat Pembayar.


Rujukan :

Friday, February 18, 2011

Tabung Pendidikan Kanak-Kanak – Bahagian 1 - Pengenalan



Kos yang kritikal untuk pendidikan kanak-kanak adalah kos untuk memasuki universiti kerana perbelanjaannya yang agak besar. Walau bagaimanapun, jika dilihat dari sudut masa, perbelanjaan ini hanya akan bermula ketika umur anak itu mencapai 18 tahun dimana dia mula memasuki institusi pra-universiti. Ini bermaksud ibu-bapa mempunyai jangkamasa selama 18 tahun untuk menabung bagi tujuan pendidikan anak anda.  Berikut adalah langkah-langkah awal untuk merancang tabung pendidikan kanak-kanak :

1. Tentukan ;  tempat belajar, tahap kelayakan, university yang dipilih, bidang pengajian, dan jangkamasa pengajian.

Sebagai contoh, anda mahu anak anda menjadi doktor. Anak anda perlu masuk matrikulasi atau mengambil A-Level. Selepas itu anda mahu menghantar anak anda belajar ke Rusia atau Ukraine dalam bidang perubatan.  Yuran kursus perubatan di Rusia adalah sekitar RM200,000 selama 5 tahun (antara termurah di dunia), tidak termasuk yuran sarahidup. Jika dikira dari umur 18 tahun hingga habis Ijazah Pertama Kedoktoran (MBBS) di luar negara, anda perlu menyediakan RM500,000 hingga RM 1 juta sepanjang pembelajaran mereka.

Buat kiraan seperti di atas berdasarkan faktor-faktor yang disebutkan. Untuk tujuan kiraan kita namakannya sebagai Jumlah X

Inflasi

Memandangkan kos pendidikan akan ditanggung pada masa hadapan, anda juga perlu mengambil kira faktor inflasi.
Dengan inflasi 3% setahun, RM1 juta bersamaan RM1.7juta selepas 18 tahun. Ini bermakna , jka anak anda baru lahir sekarang,  sebenarnya anda perlu mengumpul RM1.7juta sebelum dia berumur 18 tahun untuk memastikan dia menjadi seorang doktor nanti.

(Kiraan berdasarkan Future Value menggunakan kalkulator http://www.easysurf.cc/vfpt2.htm)

2. Cari Jalan Untuk Mengumpul Jumlah X
Ada berbagai cara untuk menabung Jumlah X, antaranya :

a. Menyimpan setiap bulan
b. Menjalankan perniagaan sambilan
c. Membuat pelaburan : hartanah, stok dsb

3.  Pengurusan risiko simpanan dan sumber simpanan.
Banyak bentuk risiko atau kejadian yang tidak diingini mungkin akan berlaku dalam masa 18 tahun. Bergantung kepada sumber simpanan, terdapat beberapa cara untuk anda boleh menjamin tabungan ini akan kekal sehingga sehingga umur anak and menjangkau 18 tahun. Topik ini akan dikongsi dalam artikel seterusnya bertajuk : Tabung Pendidikan Kanak-Kanak – Bahagian 2 – Pengurusan Risiko pada minggu hadapan.

Rujukan :
http://www.insuranceinfo.com.my/_system/media/downloadables/polisi_pendidikan_anak_insurans.pdf
http://www.insuranceinfo.com.my/choose_your_cover/things_to_note/child_edu_plan.php?intPrefLangID=2
http://www.akpk.org.my/Articles/WangSimpananUntukPendidikanAnak/tabid/322/Default.aspx