Tuesday, April 26, 2011

Tabung Pendidikan Kanak-Kanak – Bahagian 2 – Pengurusan Risiko



Entri ini adalah sambungan kepada Tabung Pendidikan Kanak-Kanak – Bahagian 1 – Pengenalan. Secara umumnya, menabung dalam jangka yang panjang mempunyai beberapa risiko. Risiko yang paling besar adalah apabila orang yang menabung hilang punca punca pendapatan, sehingga menyebabkan tabungan itu terpaksa dihentikan separuh jalan, seperti :

a.       Hilang Pekerjaan
b.      Berlaku kecelakaan seperti kemalangan sehingga penabung tidak boleh bekerja
c.       Kematian penabung.

Jika tabungan pendidikan anak anda terhenti separuh jalan, akhirnya mungkin anak anda juga akan belajar separuh jalan!

Jika kita sedang menabung untuk pendidikan kanak-kanak, ada baiknya kita melihat produk insurans yang boleh membantu mengurangkan risiko tabungan anda.

Terdapat dua jenis polisi asas untuk pendidikan kanak-kanak yang utama, iaitu polisi endowmen dan polisi berkaitan pelaburan. Perbezaan antara dua jenis polisi ini adalah dari segi struktur dan juga jenis pelaburan.

• Polisi endowmen (simpanan)

Polisi endowmen menggabungkan komponen simpanan dengan perlindungan. Polisi endowmen mungkin berbentuk sertaan atau tanpa sertaan . Sesuai dengan namanya, polisi tanpa sertaan tidak berkongsi keuntungan kumpulan wang insurans hayat tetapi semua manfaat insurans dijamin sepenuhnya. Sebaliknya bagi polisi sertaan , sebahagian daripada manfaat insurans dijamin. Walau bagaimanapun, amaun manfaat yang akhirnya diperoleh pada masa polisi matang tidak dijamin kerana ia tertakluk kepada prestasi kumpulan wang insurans hayat sertaan syarikat insurans berkenaan. 

• Polisi berkaitan pelaburan

Polisi berkaitan pelaburan menggabungkan unsur pelaburan dan perlindungan berdasarkan keperluan anda selaku empunya polisi. Ia menawarkan kefleksibelan kerana anda boleh menambah caruman premium bulanan atau menambah simpanan anda apabila pendapatan anda meningkat. Sekiranya anda ingin lebih agresif dengan instrumen pelaburan, polisi berkaitan pelaburan juga membolehkan anda memilih jenis dana yang anda ingin laburkan. Walau bagaimanapun, seperti mana-mana pelaburan lain yang seumpamanya, ia melibatkan risiko yang lebih tinggi dan tidak ada jaminan pulangan pelaburan yang mungkin lebih tinggi atau lebih rendah daripada yang diunjurkan. 

Tidak kira apa pilihan anda, paling penting : MASUKKAN RIDER MANFAAT PEMBAYAR!

Rider manfaat pembayar adalah tambahan kepada kepada kedua-dua produk asas di atas yang akan  mengecualikan bayaran premium sekiranya ibu bapa/ penjaga yang sah tidak lagi berupaya membayar premium polisi tersebut akibat berlaku peristiwa seperti kematian yang tidak dijangka, didiagnosis berpenyakit kritikal atau hilang upaya menyeluruh dan kekal. Dengan memilih rider manfaat pembayar, dana pendidikan anak anda akan terjamin sekiranya sesuatu berlaku ke atas anda sebagai ibu bapa/penjaga yang sah. 

Jika anda telah membeli insurans pendidikan, semak semula dengan ejen anda mengenai Rider Manfaat Pembayar.


Rujukan :

No comments:

Post a Comment